Selasa, 28 Ogos 2018 | 9:38pm

Polis tahan 2 suspek, rampas syabu dan heroin

IPOH: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Klebang Mutiara di sini, semalam.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 3.30 petang itu menahan dua suspek masing-masing berusia 29 dan 30 tahun dalam sebuah bilik di premis berkenaan.

Ketua JSJN negeri, Asisten Komisioner VR Ravi Chandran, berkata hasil risikan selama dua bulan berdasarkan maklumat orang awam, pihaknya menyerbu premis berkenaan dan mendapati kedua-dua suspek berada dalam salah satu bilik di premis itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam bilik menemukan beberapa bungkusan dadah dipercayai jenis heroin seberat 1.37 kilogram (kg) dan methamphetamine seberat 130 gram yang keseluruhannya bernilai RM67,275.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah berkenaan dalam paket kecil.

“Polis juga menyita dua kereta dipercayai milik salah seorang suspek, sebuah lori dan beberapa barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM69,350,” katanya pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek menggunakan rumah berkenaan sebagai lokasi untuk membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar bandar raya ini.

“Berdasarkan siasatan lanjut, semua rampasan dadah itu boleh menampung bekalan dadah kepada kira-kira 63,000 penagih dalam tempoh empat bulan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah. Suspek berusia 29 tahun juga positif ganja selepas menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Ravi Chandran berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihaknya masih mengenal pasti saki baki individu yang turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dan menahan 5,883 individu terbabit dalam kegiatan pengedaran dan memiliki dadah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Nilai sitaan harta daripada pengedar dadah sepanjang tempoh itu adalah sebanyak RM2.2 juta,” katanya.

58 dibaca
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM67,275 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X