Selasa, 28 Ogos 2018 | 1:21pm

Ajal di sisi kereta

DUNGUN: Seorang jurutera ditemui meninggal dunia tidak jauh dari rumahnya, di Kampung Nyior, Paka dekat sini selepas pulang bermain badminton, malam tadi.

Juriza Muda, 36, jurutera di sebuah syarikat pemprosesan minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman, ditemui terbaring di atas tanah bersebelahan Proton Wira miliknya, kira-kira jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superitenden Baharudin Abdullah, berkata mayat mangsa ditemui dua anggota polis dari Balai Polis Paka yang ketika itu sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah.

Katanya, ketika membuat rondaan, anggota terbabit ternampak sebuah Proton Wira dengan lampu terpasang dan pintu terbuka.

“Anggota kami pada mulanya mengesyaki kemungkinan akibat kecurian memandangkan di situ ada rumah dalam proses pembinaan.

“Sebaik menghampiri kereta itu, anggota kami ternampak jasad terbaring bersebelahan pagar rumah yang dalam proses pembinaan tidak jauh dari kediaman mangsa,” katanya hari ini.

Baharudin berkata, polis mendapatkan khidmat pegawai perubatan yang bergegas ke tempat kejadian sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Isteri mangsa yang datang ke lokasi kejadian mengesahkan mayat itu adalah suaminya dan memaklumkan suaminya itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan serta tidak menunjukkan sebarang tanda sakit,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X