Isnin, 27 Ogos 2018 | 12:53pm
DATUK Yahaya Madis. - Foto NSTP

Tiada unsur khianat kebakaran 2 sekolah agama

IPOH: Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap kebakaran yang berlaku di dua sekolah agama dalam tempoh dua minggu berturut-turut di negeri ini, baru-baru ini, tidak menemui sebarang unsur khianat atau kecuaian.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis, berkata siasatan terhadap punca sebenar kebakaran yang berlaku di asrama dua sekolah berkenaan bagaimanapun masih dilakukan kerana ada bahan yang ditemui di premis berkenaan sedang disiasat.

“Setakat ini, kami belum menemui lagi sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat atau membabitkan kecuaian,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, satu blok tiga tingkat asrama perempuan Sekolah Menengah Agama Maahad al-Islah, Sungai Manik dekat Teluk Intan, yang dihuni 63 pelajar, terbakar dengan tingkat tiga bangunan itu musnah sama sekali dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu.

Pengetuanya, Augus Lokman Sulam, dilaporkan berkata ia adalah kejadian kali ketiga sejak tahun 2013 dan kebakaran terbaru itu mengakibatkan keseluruhan tingkat tiga bangunan menempatkan pelbagai kelengkapan seperti tilam, katil, meja, kerusi dan buku teks pelajar musnah dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM500,000.

Enam hari kemudian, asrama perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, di Kuala Kangsar, yang dihuni 160 pelajar pula terbakar kira-kira jam 10.45 pagi membabitkan siling asrama dan perkakasan termasuk almari dan katil.

Pengetuanya, Khairul Anwar El Syazalli Musa, dilaporkan berkata kebakaran itu kali kedua dalam tempoh beberapa hari dengan kejadian pertama pada 12 Ogos membabitkan langsir bangunan sama.

Beliau dipetik sebagai berkata, pihak sekolah sudah membuat laporan polis kerana kebakaran itu mencurigakan dan menyerahkan siasatan dua insiden itu kepada pihak berkuasa serta menunggu laporan penuh punca kebakaran berkenaan.

Yahaya berkata, prosedur JBPM ialah tidak akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan terhadap punca kebakaran kedua-dua asrama berkenaan sebaliknya hanya menyerahkannya kepada pihak berkaitan sahaja apabila sudah siap nanti.

Katanya, JBPM Perak mengambil berat terhadap isu kebakaran di sekolah agama khususnya yang mempunyai asrama dengan melakukan pemeriksaan keselamatan, mengadakan ceramah mencegah kebakaran serta penubuhan kadet bomba di sekolah terbabit.

Beliau berkata, usaha seperti itu dilakukan bagi memastikan tiada lagi kebakaran berlaku pada masa depan dengan pelajar di sekolah terbabit diberi kesedaran terhadap perkara yang boleh menjadi punca kebakaran.

Berita Harian X