Ahad, 26 Ogos 2018 | 9:05pm
ARRIZ Sham menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu bernilai hampir RM20,000 yang dirampas daripada lima suspek disyaki penagih dalam serbuan berasingan di Bukit Raya, Pendang. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Sindiket dadah Pendang lumpuh

PENDANG: Lima lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan ketika sibuk membungkus dadah dalam dua serbuan di Kampung Alor Besar, Bukit Raya di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 12.10 pagi itu, semua suspek berusia 20-an hingga 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah, pihaknya menahan empat lelaki yang sedang sibuk membungkus dadah.

Katanya, pemeriksaan menemui enam paket plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 125 gram dan lapan paket plastik dadah jenis heroin seberat 9.10 gram.

“Susulan itu, serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan sama, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang sedang membungkus dadah.

“Serbuan itu juga membawa kepada penemuan 13 paket plastik berisi dadah yang mana tujuh daripadanya adalah heroin seberat 50.59 gram dan enam paket kecil syabu seberat 12.80 gram.

“Polis percaya operasi ini berjaya melumpuhkan sindiket yang aktif di daerah ini manakala nilai dadah yang dirampas mencecah RM20,000,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, polis juga merampas pelbagai alat membungkus dadah seperti penimbang, gunting dan plastik membungkus.

Katanya, berdasarkan rekod, dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka mendapati positif dadah jenis morfin, Methaphatamin dan ganja.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

155 dibaca
Berita Harian X