Ahad, 26 Ogos 2018 | 7:26pm

Punca dua beranak lemas tidak diketahui

KAJANG: Punca sebenar dua beranak yang lemas ketika memancing di Sungai Langat berhampiran Jalan 3/12 Taman Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, hari ini, belum dapat dipastikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Timbalan Penguasa Bomba Rosman Majid, berkata saksi hanya sempat melihat kedua-dua mangsa sudah terkapai-kapai di dalam sungai sebelum tenggelam serentak.

Katanya, mujur ada seorang pemancing yang melihat kejadian ini kerana ketika kejadian, tiada orang lain yang berada berhampiran tempat kedua-dua mangsa memancing.

“Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak tahu apa punca kedua-dua mangsa itu boleh berada di dalam sungai sebelum lemas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.16 pagi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, SAR itu turut dibantu lima anggota dan dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba serta tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dan Penyelamat Selangor.


ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa, Ahmad Azrifaiz yang ditemui lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana. - Foto Sairien Nafis

ISTERI mangsa, Ajura Abdul Jalil, 47, turut berasa di lokasi. - Foto Sairien Nafis

“Pencarian di permukaan air oleh Unit K9 dimulakan pada jam 12.30 tengah hari dan berjaya mengesan lokasi mayat kedua-dua mangsa sebelum pasukan PPDA melakukan pencarian di dasar sungai.

“Mayat mangsa pertama dikenali sebagai Roslan Ismail, 49, ditemui pada jam 1.52 petang tadi manakala mayat anaknya, Ahmad Azrifaiz, 18 tahun, ditemui pada jam 2.20 petang.

“Kedua-dua mereka ditemui di dasar sungai, dengan jarak kira-kira empat meter di antara satu sama lain.

“Lokasi mayat ditemui hanya kira-kira tujuh meter dari tebing sungai dengan kedalaman air lebih kurang tiga meter,” katanya kepada pemberita di lokasi, hari ini.

Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan gerakan pencarian dihentikan jam 3 petang.

Berita Harian X