Ahad, 26 Ogos 2018 | 2:44pm

TERKINI: Mayat 2 beranak ditemui

KAJANG: Dua beranak lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi ketika memancing ikan patin di sini, hari ini.

Bomba yang menerima laporan kejadian itu pada jam 10.16 pagi menghantar 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Timbalan Penguasa Bomba Rosman Majid berkata, operasi pencarian turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Selangor.

"Pencarian oleh Unit K9 dapat mengesan lokasi mayat kedua mangsa sebelum pasukan PPDA melakukan pencarian di dasar sungai.

"Mayat mangsa pertama dikenali sebagai Roslan Ismail, 49 tahun ditemui pada jam 1.52 petang tadi manakala mayat anaknya, Ahmad Azrifaiz, 18 tahun, ditemui pada jam 2.20 petang.

"Kedua-duanya ditemui di dasar sungai, kira-kira empat meter di antara satu sama lain.

"Lokasi mayat ditemui kira-kira tujuh meter dari tebing sungai dengan kedalaman air lebih kurang tiga meter," katanya kepada pemberita di lokasi, hari ini.

Katanya, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan operasi pencarian dihentikan jam 3 petang.

MAYAT dua beranak yang lemas selepas terjatuh di Sungai Langat ketika memancing berjaya ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Selangor. - Foto Sairien Nafis
ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa, Roslan Ismail setelah ditemui lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana. - Foto Sairien Nafis
MAYAT mangsa, Roslan Ismail setelah ditemui lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X