Ahad, 26 Ogos 2018 | 12:10pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, malam tadi.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, malam tadi.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, malam tadi.

Lelaki maut treler dipandu terbalik

BENTONG: Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya parah selepas kenderaan berat itu terbalik ke dalam longkang di Kilometer 41, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Karak, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 8 malam itu, pemandu treler, Zakarian Har, 55, meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindannya, Nor Suhairi Yusof, 36, patah kaki kanan serta cedera di beberapa bahagian badan dan tengkuk.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, berkata siasatan awal mendapati treler bermuatan makanan ayam yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Benta, Kuala Lipis itu pada mulanya berada di lorong tengah sebelum ia menghimpit sebuah kereta di lorong kiri.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun itu tiba-tiba dihimpit treler berkenaan ke kiri jalan sebelum ia terbalik ke dalam longkang.

“Pemandu dan kelindannya tersepit kira-kira 30 minit sebelum berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dihimpit tidak cedera manakala kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Bentong.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kepala treler yang remuk.

Berita Harian X