Ahad, 26 Ogos 2018 | 11:24am
NUR Syazwani Mohd Hanapi maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres dan kereta di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, awal pagi ini. - Foto Ramli Ibrahim
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, awal pagi ini. - Foto Ramli Ibrahim

Wanita maut, kereta bertembung bas

GUA MUSANG: Seorang wanita maut dan 45 lagi terselamat dalam kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres dan kereta di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, awal pagi ini.

Pemandu kereta Proton Persona, Nur Syazwani Mohd Hanapi, 26, yang berasal dari Taman Murni Kok Lanas, Kota Bharu, maut, manakala adiknya, Muhammad Syazwani, 25, mengalami kecederaan.

Dalam kemalangan pada jam 6.15 pagi berhampiran Kampung Gua Sejuk itu, dua pemandu bas ekspres Perdana bersama 42 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian itu berlaku ketika bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki mangsa bersama adiknya pula dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah treler tetapi gagal.

Berikutan itu, katanya, kereta yang dipercayai dipandu laju itu bertembung dengan bas ekspres terbabit.

"Sejurus kejadian, bas ekspres yang penuh dengan penumpang itu terbabas dan terbalik di dalam longkang dan semua penumpang menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu kecemasan," katanya.

Mohd Taufik berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang turut membantu menyelamatkan penumpang yang masih terperangkap dalam bas itu.

Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala adiknya yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kejadian itu di siasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati musim perayaan ini terutama lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut," katanya.

127 dibaca
Berita Harian X