Sabtu, 25 Ogos 2018 | 3:28pm
AHMAD Haikal Zaaba. - Foto Rosli Ilham

'Baru saja ambil gambar bersama'

CHUKAI: "Siapa tak sedih. Baru sekejap kami dapat bergurau, berkelah dan bergambar bersama selepas lama tidak bertemu, sekelip mata kami kehilangan tiga sahabat sekali gus," kata Ahmad Haikal Zaaba, 19.

Bekas rakan sekolah tiga mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong, Kijal, di sini, petang kelmarin, tidak menafikan masih dihantui kekesalan atas apa yang berlaku, namun perlu reda dengan ketentuan Allah.

"Lebih memilukan melihat ibu bapa dan ahli keluarga yang masih terkejut kehilangan mereka.

"Saya sendiri masih bersedih dan tidak dapat tidur malam mengenangkan tiga sahabat yang pergi meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini, hari ini.

Apapun Ahmad Haikal berkata, mereka bersyukur ketiga-tiga mangsa ditemui, walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang kelmarin (Khamis), Shahir Aqil Shahrun; Ahmad Daniel Firdaus Zubir dan Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, lemas ketika mandi bersama empat lagi rakan mereka di Pantai Teluk Kalong di sini.

Semua mangsa berusia 19 tahun dan pernah bersekolah bersama di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini.

Mayat Shahir Aqil yang pertama ditemui terdampar tidak jauh dari Pos Kawalan Bomba di pantai berkenaan pada jam 4.30 pagi semalam, manakala mayat Khairil Ikmal dan Ahmad Daniel masing-masing juga ditemui terdampar tidak jauh dari lokasi penemuan mayat Shahir Aqil jam 5.20 pagi dan 9.45 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Kemaman apabila ibu bapa dan ahli keluarga mangsa menunggu proses bedah siasat selesai, sebelum boleh menuntut jenazah untuk dikebumikan.

232 dibaca
Berita Harian X