Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12:25pm
Ahmad Haikal Zaaba. - Foto Rosli Ilham

'Patutlah dia tak mahu mandi'

CHUKAI: "Mulanya Shahir (Aqil Shahrun) enggan menyertai kami mandi, namun akhirnya turut serta. Tidak sangka pula kami akan kehilangannya buat selamanya," kata Ahmad Haikal Zaaba, 19.

Shahir ditemui lemas jam 4.30 pagi tadi selepas mandi bersama enam lagi rakannya di Pantai Teluk Kalong petang semalam, manakala dua lagi, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, 19, dan Ahmad Danial Firdaus Zubir, 19, yang hilang masih belum ditemui.

Mayat Shahir, 19, yang juga pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Ibrahim, Johor itu, ditemui pada jarak 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai.

Ahmad Haikal berkata, dia tidak menyangka keengganan Shahir untuk menyertai mereka mandi laut pada awalnya adalah petanda buruk dia akan kehilangan sahabat yang juga bekas rakan sekolah.

"Saya masih trauma dan bersedih dengan kejadian kerana semuanya berlaku depan mata.

"Namun saya lega akhirnya seorang daripada mereka sudah ditemui walaupun dalam keadaan tidak bernyawa lagi dan berdoa dua lagi rakan yang masih hilang ditemui segera," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Ahmad Haikal berkata, dia bersama tiga rakannya yang terselamat dalam kejadian itu tidak menyangka keadaan pantai yang mulanya tenang tiba-tiba berubah dengan ombak besar dan air pasang.

"Kalaulah ketika itu kami sedar arus kuat sudah pasti kami tak terus mandi di situ, namun apa boleh buat ini suratan Ilahi terhadap tiga rakan kami.

"Ketika suasana cemas itu, saya juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan Khairil Ikmal, namun terselamat selepas berjaya berenang ke tepi pantai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa terus digiatkan membabitkan anggota bomba dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan penduduk setempat.

73 dibaca
Berita Harian X