Jumaat, 24 Ogos 2018 | 12:22am
ANGGOTA Bomba melakukan pencarian di persisir pantai bagi mengesan tiga pelajar yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong malam ini. - Foto Rosli Ilham

Sedih gagal selamatkan rakan

CHUKAI: “Saya sangat sedih dan terkilan kerana gagal selamatkan Khairil Ikmal (Danial Zamzuradi) walaupun berjaya menarik tangannya,” kata Ahmad Haikal Zaaba, 19, selepas tiga rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, di sini, petang tadi.

Selain Khairil Ikmal, pelajar Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Kok Lanas, Kelantan; dua lagi yang dikhuatiri lemas ialah Ahmad Daniel Firdaus Zubir, pelajar Diploma Kulinari Management and Science University (MSU), dan Shahir Aqil Shahrun, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Ibrahim, Johor.

Semua mangsa yang berusia 19 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama empat lagi rakan jam 6.30 petang.

Sehingga jam 11 malam ini, usaha mencari dan menyelamat membabitkan 50 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih diteruskan.

Ahmad Haikal berkata, dia cuba menyelamatkan Khairil Ikmal tetapi disebabkan arus kuat, mangsa terlepas pegangan tangannya.

“Saya tak berani menyambar tangannya buat kali kedua kerana bimbang turut lemas,” kata ditemui di lokasi.

Remaja itu berkata, dia bersama semua mangsa serta tiga lagi rakan sekampung mandi di pantai kira-kira jam 5 petang.

Mereka yang juga rakan sekolah, berpakat berkelah di pantai itu sempena cuti Aidiladha.

“Ketika mandi, Ahmad Daniel tiba-tiba ditarik arus dan terkapai-kapai sebelum Shahir Aqil cuba menyelamatkannya. Namun, kedua-duanya hilang dibawa arus,” katanya.

Ahmad Haikal berkata, selepas melihat dua rakannya itu, Khairil Ikmal pula cuba membantu, namun dia turut dibawa arus.

“Ketika itu air laut mulai pasang serta arus sangat kuat. Saya cuba membantu menyelamatkan Khairil Ikmal namun gagal walaupun sudah berjaya menarik tangannya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba Chukai, Mohd Zailani Mohamad, berkata pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian bergegas ke lokasi.

Katanya, pasukan penyelamat memperluaskan operasi pencarian di laut sekitar satu kilometer.

“Arus dan ombak kuat menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menghentikan operasi di laut jam 11 malam ini.

“Bagaimanapun operasi mencari diteruskan dengan kaedah tinjauan di sekitar kawasan tepi pantai,” katanya.

230 dibaca
Berita Harian X