Khamis, 23 Ogos 2018 | 2:20pm

Sindiket syabu, ecstasy terbesar tumpas

GEORGETOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket mengedar dan menyeludup dadah, sekali gus merampas pelbagai jenis bahan larangan itu bernilai RM26.1 juta di sini, Selasa lalu.

Dadah terbabit ditemui hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN negeri, Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN), Biro Supression Narkotik Polis Diraja Thailand (RTP) dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB).

Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kang Chez Chiang, berkata dalam serbuan jam 6.15 petang itu, pemeriksaan polis menemui 506 kilogram (kg) syabu dan 26,000 pil ecstasy di enam lokasi berasingan di Pulau Pinang yang dijadikan stor simpanan bahan larangan itu.

Selain itu, katanya, seramai empat lelaki berusia antara 35 hingga 59 tahun yang memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah turut diberkas selepas dipercayai menganggotai sindiket terbabit.

“Kita menemui 473 bungkusan teh cina dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 506 kg, manakala 13 bungkusan lain mengandungi 26,000 pil ecstacy, dipercayai dibawa masuk dari negara segi tiga emas menggunakan laluan di Thailand ke Malaysia.

“Melalui penemuan ini, kita percaya Pulau Pinang menjadi negeri transit bagi kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah, sebelum ia dijual bagi pasaran tempatan serta dieksport untuk pasaran antarabangsa.

“Selain dieksport ke negara jiran, kita difahamkan mereka turut mengedar ke negara lain dipercayai di Australia, New Zealand dan Filipina. Mereka juga mungkin ada pasaran di Jepun, Taiwan, Indonesia dan Korea.

“Dadah ini dipercayai dihantar melalui pos, kurier tempatan dan antarabangsa atau kargo, melalui jalan udara, darat dan air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik.

Mengulas serbuan itu, Chez Chiang berkata, tiga suspek ditahan di dalam kereta di Bayan Baru di sini dengan dua daripada mereka positif dadah, selain turut menemui 159 bungkusan dadah bersama mereka.

Katanya, pihaknya turut menyita pelbagai barangan peribadi milik suspek, dianggarkan bernilai RM147,000, membabitkan tiga kenderaan jenis Volkswagen, PROTON Wira dan Waja, barangan kemas dan seutas jam tangan.

"Suspek keempat juga ditahan dalam kenderaannya di Jalan Lengkok Perak di sini, dan ujian saringan air kencing mendapati negatif. Kita juga berjaya menyerbu dua stor dadah, susulan tangkapan semua suspek terbabit.

"Kita kemudian menemui 18 bungkus syabu dan pil ecstasy (13 bungkus) di sebuah rumah teres di Taman Island Glades, Gelugor, manakala syabu (296 bungkus) di sebuah rumah lain di kawasan sama dan gagal menemui sebarang dadah di dua lokasi lagi.

"Susulan tangkapan ini, semua suspek yang dipercayai broker dadah, direman selama enam hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain masih memburu ahli sindiket lain," katanya.

INFO
Statistik Tangkapan/Rampasan Dadah JSJN (1 Januari hingga 16 Ogos 2018)

(A) Jumlah Keseluruhan Tangkapan: 104,384 individu

- Bekalan: 16,823 individu

- Memiliki: 39,707 individu

- Urine Positif: 47,854 individu

(B) Tangkapan

- Warga tempatan: 98,847 individu

- Warga asing: 5,537 individu

- Akta Dadah Berbahaya (LLPK): 792 tangkapan

(C) Nilai Keseluruhan Rampasan Dadah: RM127.8 juta

SINTETIK

- Syabu: 1,632.12 kg

- Ketamin: 36.08 kg

- Pil Eramin 5: 51.78 kg (258,900 pil)

- Pil Yaba: 24.13 kg (241,300 pil)

- Pil Ekstasi: 107.02 kg (356,733 pil)

TRADISIONAL

- Ganja: 1,339.71 kg

- Heroin: 549.31 kg

(D) Nilai Sitaan Harta: RM47.62 juta

Nilai Harta Dilucuthakkan: RM4.7 juta

84 dibaca
Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kang Chez Chiang (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu dan pil ecstasy yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X