Selasa, 21 Ogos 2018 | 6:43pm
LOKASI kejadian dua sahabat lemas ketika mandi kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur. - Foto Rosli Ilham

Dua pelajar lemas di Lubuk Kain

DUNGUN: Kegembiraan 15 sahabat mandi di Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur berakhir dengan tragedi selepas dua daripada mereka lemas.

Kedua-dua pelajar terbabit, Muhammad Arif Haikal Amran 16, dari Padang Kemunting dan Muhammad Hafiz Asran, 16, dari Kampung Pak Tuyu dalam daerah Kuala Nerus, lemas ketika mandi di situ kira-kira jam 1 tengah hari.

Sebelum kejadian, Muhammad Hafiz dikatakan terjun dari sebuah batu yang tinggi,sebelum terkapai-kapai kelemasan.

Bagaimanapun, rakannya Muhammad Arif Haikal yang menyaksikan kejadian itu terjun untuk memberi bantuan menyebabkan dia turut lemas.

Rakan mangsa yang lain bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum penduduk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.


JENAZAH kedua-dua sahabat yang lemas ketika mandi kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. - Foto Rosli Ilham

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Jaswari Awang, berkata sepasukan enam anggota Bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Menurutnya, anggota bomba bersama polis dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebelum berjaya menemui Muhammad Arif Haikal, kira-kira jam 2 petang.

"Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafiz ditemui di dasar sungai setengah jam selepas itu. Jenazah kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

"Polis telah menghubungi keluarga kedua-dua mangsa terbabit bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

493 dibaca
Berita Harian X