Selasa, 21 Ogos 2018 | 6:07pm

Pengurus ditahan dipercayai pengedar dadah

KUANTAN: Seorang pengurus syarikat pelaburan mata wang asing atau forex antara empat lelaki ditahan kerana dipercayai pengedar ganja dalam serbuan membabitkan rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM181,000 di sini, Jumaat lalu.

Lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan bersama tiga kakitangannya iaitu adiknya yang berusia 20 tahun serta dua suspek masing-masing 23 serta 21 tahun, ketiga-tiganya bekerja sebagai penganalisis teknikal di syarikat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dilakukan selepas menerima maklumat awam dan melakukan pemerhatian terhadap sebuah kenderaan jenis Nissan Almera di Jalan Besar kira-kira jam 10.45 malam.

Katanya, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki dua suspek itu menemui ganja seberat 196.2 gram dan siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Tanjung Lumpur yang turut menahan seorang lagi suspek.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui ketulan mampat ganja di berapa lokasi yang keseluruhannya seberat 4,092 gram, turut ditemui alat penimbang digital, pisau dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk memproses ganja sebelum diedarkan.

"Semasa pemeriksaan dilakukan polis, seorang lagi suspek ditahan yang memberhentikan kereta dan memasuki rumah itu.

"Ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis THC, mereka ditahan reman satu minggu mulai 18 Ogos sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B, 39A (2), 39A(1) dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, nilai anggaran rampasan dan aset disita dalam serbuan itu dianggarkan berjumlah lebih RM181,000, membabitkan ganja seberat 4,305 gram bernilai RM10,000, wang tunai RM9,700 dan masing-masing sebuah kereta Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Alza kereta motosikal, anggaran bernilai RM108,000.

"Turut disita emas dalam bentuk kepingan bernilai RM33,275 dan wang dalam akaun berjumlah RM30,983.

"Dipercayai ia adalah hasil penjualan ganja yang pasarannya disasarkan sekitar daerah ini, kita sedang mengenal pasti sumber bekalan ganja diterima mereka untuk mematahkan kegiatanya pembekalnya serta rangkaiannya," katanya.

KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang di rampas dan menahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 27 tahun dalam satu serbuan membabitkan rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM181,000 ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). - Foto Zulkepli Osman
Berita Harian X