Isnin, 20 Ogos 2018 | 5:31pm
TIGA beradik antara empat yang maut dalam kemalangan membabitkan PERODUA Viva dengan treler di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku, kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

'Kami kehilangan tiga beradik sekelip mata'

BACHOK: “Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, Mimi Suziana menghubungi ayah memaklumkan mereka sudah bertolak dari Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidiladha dan meminta kami mendoakan perjalanan mereka.

“Namun, beberapa jam kemudian, kami mendapat berita ketiga-tiga mereka meninggal dunia dalam kemalangan,” luah Mimi Suhana Mohamed, 41, kakak kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dekat sini, jam 9.40 pagi tadi.

Mereka yang maut dalam kemalangan itu adalah Mimi Suziana, 39, dan dua adiknya, Norfasmida, 24 serta Ahmad Faris, 16.

Turut maut dalam kejadian itu kawan kepada Norfasmida iaitu Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21.

Mimi Suhana yang juga anak kedua daripada sembilan beradik itu, berkata Allah menguji mereka sekeluarga dengan mengambil tiga ahli keluarga secara serentak ketika umat Islam bakal menyambut Aidiladha dua hari lagi.

“Mimi Suziana bekerja di Kuala Lumpur, manakala Norfasmida belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dan Ahmad Faris di Kolej Vokasional Seremban.

“Norfasmida sanggup menyewa kereta kerana Mimi Suziana dan Ahmad Faris juga mahu pulang bersama-sama dan itu pertama kali mereka pulang ke kampung secara bersama, memandangkan sebelum ini menaiki bas.

“Kami sekeluarga mengetahui Norfasmida mengambil adiknya di Seremban terlebih dahulu sebelum ke Kuala Lumpur mengambil Mimi Suziana, seterusnya bertolak pulang ke Kelantan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keluat, di sini, hari ini.

Katanya, tiga beradik berkenaan sepatutnya pulang selama seminggu dan mereka sekeluarga begitu menantikan kepulangan mereka memandangkan sudah sekian lama Mimi Suziana tidak pulang ke kampung menyambut Aidiladha bersama-sama.

“Kali ini Mimi Suziana pulang kerana ayah (Mohamed Bedollah, 63,) mengadakan ibadat korban untuk Mimi Suziana. Malah, kami sepatutnya berkumpul lapan beradik bersama-sama menyambut Aidiladha ini memandangkan kakak sulung tidak dapat pulang.

“Namun, siapa sangka Allah lebih menyayangi mereka dan mengambil nyawa secara serentak. Walaupun sedih, namun kami menganggap semua yang berlaku adalah takdir Allah,” katanya.

Jenazah tiga beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keluat, manakala jenazah Nur Farah Farahainsah dikebumikan di Pasir Mas.

Terdahulu, dalam kejadian itu, PERODUA Viva yang dinaiki empat individu dalam perjalanan menghala ke Merapoh hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.

Akibat pertembungan itu, empat mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita Harian X