Isnin, 20 Ogos 2018 | 12:46pm
KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa selepas bertembung dengan treler di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku. - Foto Ihsan Bomba Pahang
KEADAAN treler selepas bertempung kereta mangsa di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku. - Foto Ihsan Bomba Pahang

Empat maut kereta bertembung treler

LIPIS: Empat terbunuh apabila PERODUA Viva yang dinaiki bertembung dengan treler di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, pagi tadi.

Semua mangsa, iaitu tiga wanita dan seorang lelaki yang tersepit dalam kereta yang remuk, meninggal dunia di lokasi dalam kemalangan jam 9.40 pagi.

Difahamkan, seorang daripada mangsa yang maut adalah Nur Asmida Mohamed, 24, beralamat di Kampung Keluat Beris Kubur, Bachok, Kelantan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 9.53 pagi.


TIGA beradik antara empat yang maut dalam kemalangan membabitkan PERODUA Viva dengan treler di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku. - Foto Ihsan Bomba Pahang

“Empat mangsa yang menaiki PERODUA Viva disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan, manakala dua lelaki menaiki treler tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata identiti mangsa belum dikenal pasti.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” katanya.

62 dibaca
Berita Harian X