Sabtu, 18 Ogos 2018 | 10:17pm
TIGA nelayan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas bot mereka karam di perairan Pulau Agas kira-kira tujuh batu nautika dari selatan Pulau Pangkor. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

3 nelayan bot karam terselamat

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Lumut menyelamatkan tiga nelayan warga emas selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Agas, kira-kira tujuh batu nautika dari selatan Pulau Pangkor di sini, hari ini.

Bot yang dinaiki Sai Fa, 60; Lim Ah Koh, 60, dan Chen Ah Kow, 64, karam selepas dipukul ombak besar, kira-kira jam 9 pagi.

Difahamkan, ketiga-tiga nelayan terbabit terjun ke laut sebaik menyedari bot hampir karam dan berenang ke pulau berhampiran untuk menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan kecemasan.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata Bot Petir 80 bersama kru dari Kilat 11 digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9.15 pagi.

“Bot tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi dan ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya diselamatkan pada jam 11.30 pagi.

“Mangsa dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pihaknya mendapati ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan.

“Kami sentiasa mengingatkan nelayan supaya tidak mengabaikan jaket keselamatan bagi mengelakkan sesuatu bencana menjadi lebih buruk,” katanya.

21 dibaca
Berita Harian X