Jumaat, 17 Ogos 2018 | 12:23pm
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa

'Pertama kali berlaku'

KUALA KUBU BHARU: “Pertama kali berlaku, mungkin kerana cuaca terlalu panas,” kata seorang ibu pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, di sini, yang dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan, semalam.

Noraisyah Md Di, berusia lingkungan 50-an, berkata anaknya, Muhammad Asyraf Musa, 23, antara 16 daripada 61 pelatih yang kritikal dan dikejarkan ke zon merah.

“Saya dimaklumkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang semalam bahawa anak kini dipindahkan ke zon hijau... syukur, Alhamdulillah.

“Anak pengsan kerana mungkin cuaca terlalu panas, sebelum ini tidak pernah berlaku, latihan yang disertai adalah rutin biasa di PULAPOL.

“Ketika ini, bapa saudara yang menjaga anak, saya menetap di Melaka dan mungkin akan melawat esok,” katanya pada NSTP, hari ini.

Sementara itu, isteri seorang lagi pelatih yang mahu dikenali sebagai Nurul Izati, 26, berkata suaminya, Muhammad Hasre Suzain, 27, didapati mengalami sakit kepala dan kekurangan vitamin selepas insiden itu berlaku.

“Suami ditempatkan di zon kritikal di HTAR, namun dipindahkan selepas berada dalam keadaan stabil.

“Dia ada mengadu sakit kepala mungkin kerana kurang vitamin, doktor akan terus pantau sebelum membenarkan suami keluar pulang ke rumah.

“Ketika ini, saya dimaklumkan suami antara dua mangsa berada di zon hijau, seorang lagi masih berada di zon kritikal HTAR Klang,” katanya.

Semalam, sumber Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata, kejadian berlaku apabila pelatih terbabit ditempatkan dalam sebuah bas di bawah terik matahari sebagai sebahagian daripada latihan sekitar jam 1 tengah hari.

51 dibaca
Berita Harian X