Jumaat, 17 Ogos 2018 | 10:38am
LOKASI dilaporkan seorang wanita cedera terkena tombak buah kelapa sawit (gambar kecil) dilontar suaminya di Kampung Penangah, dekat Tongod, Kinabatangan. - Foto ihsan PDRM

Wanita cedera terkena tombak dilontar suami

KINABATANGAN: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki disyaki melontar tombak buah kelapa sawit sehingga mencederakan isterinya selepas pasangan itu bertengkar di Kampung Penangah, dekat Tongod, di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari Isnin lalu ketika mangsa berusia 36 tahun dan suaminya berumur 42 tahun dalam perjalanan pulang dari kebun kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata sebelum insiden itu, mangsa dikatakan menegur dan melarang suspek meneguk minuman keras.

“Wanita itu kemudian meminta suaminya memindahkan buah kelapa sawit ke seberang anak sungai, namun suspek didakwa tiba-tiba membaling tombak sehingga menyebabkan kecederaan pada betis kanan isterinya.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Telupid pada hari sama sebelum membuat laporan di Balai Polis Tongod,” katanya ketika dihubungi NSTP.

A Sahak berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu berumah tangga sejak 1996 dan dikurniakan enam anak berusia lapan hingga 18 tahun.

“Mangsa mendakwa sering dipukul selepas bertengkar dengan suaminya dan polis kini giat mengesan suspek dipercayai melarikan diri susulan kejadian itu.

“Sebatang tombak buah kepala sawit disyaki senjata digunakan suspek turut dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.

Berita Harian X