Selasa, 14 Ogos 2018 | 3:22pm
MAKLUMAT palsu mengenai kes penculikan kanak-kanak yang viral di laman sosial. - Foto Mohd Rizal Abdullah

Henti sebar maklumat, berita palsu

MIRI: Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat palsu mengenai kes penculikan kanak-kanak di bandar raya ini yang viral di laman sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, menegaskan berita itu tidak benar dan tiada laporan polis diterima berkaitan kes penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Senadin dan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi, di sini.

“Penyebaran laporan itu mengundang keresahan orang awam berkaitan kes berkenaan sedangkan ia tidak berlaku.

“Justeru, orang awam perlu menghentikan penyebaran maklumat berkenaan serta-merta. Gambar suspek yang dikongsi juga tidak ada kaitan dan ia sebenarnya bersabit kes di Semenanjung,” katanya.

Katanya, tindakan boleh diambil sekiranya ada individu terus menyebarkan maklumat palsu itu.

Sejak semalam, laman sosial Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp dipenuhi dengan maklumat berkaitan kes berkenaan membabitkan cubaan culik seorang kanak-kanak di hadapan sekolah berkenaan, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Malah, pelbagai versi berkaitan laporan itu turut disebarkan kononnya suspek mencari organ kanak-kanak untuk dijual.

Berita Harian X