Ahad, 12 Ogos 2018 | 3:02pm
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kakitangan bank diugut wanita asing

KLANG: Akibat berbogel menerusi panggilan video, seorang kakitangan bank diugut wanita asing yang mahu menyebarkan rakaman lucah itu sekiranya gagal menyerahkan wang diminta.

Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 20-an itu menerima panggilan video melalui Facebook (FB) miliknya ketika berada di rumahnya di Taman Sri Andalas di sini, kira-kira jam 1 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati wanita Filipina yang menggunakan nama samaran itu menggoda dengan mengatakan mahu melihat mangsa berbogel.

“Mangsa kemudian kemudian terpedaya dengan permintaan suspek yang dipercayai dikenalinya di FB sehari sebelumnya.

“Tindakan mangsa bagaimanapun mengundang padah apabila suspek mengugut supaya menyerahkan wang berjumlah AS$1,000 (RM4,084) atau video mangsa akan disebarkan ke dalam YouTube,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mangsa tampil membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Shamsul Amar berkata, mangsa setakat ini bagaimanapun dikatakan belum membuat sebarang pemindahan wang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita percaya ia taktik penjenayah antarabangsa bagi mendapatkan wang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini turut menerima dua laporan polis berhubung modus operandi sama membabitkan mangsa lain.

18 dibaca
Berita Harian X