Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:43am
NUR Izzati Rosli (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, dekat sini, tengah malam tadi. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan Proton Iswara yang dinaiki Nor Izzati Rosli, di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto ihsan PDRM

Pelajar maut tercampak keluar dari kereta

TASEK GELUGOR: Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kemalangan jam 12.20 tengah malam itu, mangsa Nur Izzati Rosli, 16 meninggal dunia selepas tercampak dari kenderaan yang dinaiki bersama rakannya berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kereta yang dipandu rakan mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan yang dipandu seorang tukang cuci bersama anaknya.

“Mangsa dan rakannya itu dari Tasek Gelugor menuju ke Sungai Dua manakala tukang cuci berusia 41 tahun dan anak perempuannya berusia 14 tahun pula dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Sungai Dua menuju Tasek Gelugor.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu rakan mangsa itu dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu menyebabkan pertembungan dan kereta yang dinaiki mangsa berpusing sehingga memasuki kawasan parit manakala mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

“Ketika kemalangan cuaca berada dalam keadaan baik, jalan tidak sibuk dan berlampu,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) di sini, untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X