Jumaat, 10 Ogos 2018 | 5:52pm

Dadah RM500,000 dirampas, sindiket didalangi warga tempatan tumpas

GEORGETOWN: Polis berjaya menumpaskan sebuah kumpulan sindiket memproses dadah, sekali gus merampas pelbagai jenis bahan larangan itu seberat 54.9 kilogram (kg) bernilai RM500,000, di sini, kelmarin.

Dadah terbabit ditemui hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, di sebuah kondominium sewa di Jalan Batu Uban, Gelugor, yang dijadikan makmal memproses dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata dalam serbuan jam 2.45 petang itu, pemeriksaan polis menemukan pelbagai jenis dadah, termasuk heroin, syabu dan kafein, serta peralatan memproses bahan larangan berkenaan.

“Polis menahan dua lelaki berusia 40 dan 54 tahun yang berada di dalam rumah berkenaan ketika itu, untuk membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Katanya, penahanan suspek berkenaan membawa kepada dua lagi tangkapan membabitkan seorang penjawat awam berusia 51 tahun di Butterworth dan pengedar dadah berumur 47 tahun di Sungai Batu, Bayan Lepas.

Secara keseluruhan, beliau berkata, polis turut menyita lima kereta, dua motosikal, dua utas jam tangan dan tiga akaun bank yang semuanya bernilai RM276,446.49.

“Siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah antara enam bulan hingga setahun yang lalu. Dua daripada mereka juga didapati memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Keempat-empat suspek warga tempatan berkenaan direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

54 dibaca
A Thaiveegan (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu, heroin dan pembongkaran makmal haram memproses dadah pada sidang media di IPK Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X