Khamis, 9 Ogos 2018 | 3:08pm

KDN batal perintah larangan buku Zunar

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membatalkan perintah larangan terhadap buku karya kartunis Zunar ‘Sapuman: Man of Steal’.

Peguam N Surendran yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque ketika ditemui pemberita, berkata Peguam Kanan Persekutuan Natrah Idris memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini mengenai pembatalan perintah larangan itu selepas menerima surat daripada KDN semalam.

Surendran berkata, kandungan surat itu menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Menteri Dalam Negeri memutuskan untuk membatalkan perintah larangan itu, pada 2 Ogos lalu.

Sehubungan itu, katanya, Mahkamah Tinggi tidak meneruskan mendengar permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan anak guamnya bagi mencabar perintah larangan oleh KDN.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini.

Katanya, Hakim Datuk Azizah Nawawi melalui prosiding dalam kamar hari ini memutuskan Menteri Dalam Negeri yang dinamakan sebagai responden membayar ganti rugi berikutan anak guamnya tidak dapat menjual buku karyanya sepanjang tempoh larangan.

“Taksiran ganti rugi itu akan ditentukan kemudian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi,” katanya.

Zunar selaku pemohon memperoleh kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman pada 12 Februari 2017 bagi mendapatkan perintah antaranya, untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Oktober 2017 berhubung larangan terhadap buku berkenaan.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa perintah itu tidak sah kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat ultra vires (melanggar) peruntukan Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Melalui afidavit sokongannya, Zunar berkata, beliau melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu politik semasa di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, pada 13 September 2015.

Kartunis itu mendakwa, Menteri Dalam Negeri melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 3 Oktober tahun lalu, mewartakan satu perintah mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bahawa percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku itu adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.

51 dibaca
KARTUNIS Zunar menunjukkan buku karyanya di Mahkamah Tinggi selepas mahkamah memutuskan untuk tidak meneruskan bicara kes semakan kehakiman bagi mencabar larangan ke atas buku karyanya. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X