Rabu, 8 Ogos 2018 | 7:12pm

Berpaut 48 jam pada pelampung

KUANTAN: “Kami hanya mampu berpaut pada pelampung selama tiga hari sambil berdoa mengharapkan ada bantuan,” kata Zulkifli Zaini, seorang daripada enam nelayan hanyut selama 48 jam selepas bot dinaiki mereka karam malam Ahad lalu.

Zulkifli yang berusia 30 tahun berkata, dia bersama dua adiknya, Mohd Hafiruddin, 28, serta Mohd Afendi, 26, (tekong), Mohd Faisal Anuar, 29, serta dua lagi awak-awak, Mohd Kahar Anuar, 28, dan Khairul Anuar Yusof, 29, keluar ke laut pada malam Sabtu lalu.

“Kira-kira jam 11.30 malam Ahad lalu, ketika sedang berehat bot kami tiba-tiba bergegar dengan kuat selepas dipukul angin kencang...lama kelamaan ia semakin tenggelam.

“Keadaan kelam kabut dan kami berpaut pada pelampung untuk menyelamatkan diri dan mengharapkan ada orang akan membantu.

“Saya fikir peluang untuk hidup hanya sekitar 50-50 kerana tiada lagi makanan dan air bersih malah dalam minda saya hanya terbayang wajah isteri dan anak perempuan dikenali Yaya berusia lima tahun,” katanya yang berasal dari Telipot, Terengganu.

Katanya, mereka semua tidak berputus asa dan cuba berenang untuk mendapatkan bantuan yang akhirnya muncul malam tadi.

“Kami ditemui sebuah bot tunda yang kemudiannya memaklumkan kepada pemilik bot kami yang kemudiannya datang pagi tadi untuk membawa kami pulang.

“Syukur Alhamdulillah kerana semuanya selamat, pengalaman ini tidak mungkin saya lupakan kerana ia membabitkan nyawa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semua nelayan berkenaan dibawa oleh sebuah bot nelayan ke Jeti Polis Marin Wilayah Tiga di Tanjung Api di sini sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Difahamkan, mereka ditemui di sekitar perairan Kemasik, 32 Batu Nautika daripada Kuala Kuantan, lima jam perjalanan dari Jeti Polis Marin Wilayah Tiga.

Sementara itu, Khairul Anuar dari Berjaya Permai di sini, berkata dia sudah bersedia berdepan apa jua kemungkinan termasuk meninggal dunia selepas bot dinaiki mereka karam menyebabkan mereka hanyut selama 48 jam.

“Saya beritahu rakan-rakan supaya sentiasa bersama dan redha dengan apa jua akan berlaku...biarkan kita bersama-sama ‘pergi’ (meninggal dunia).

“Kami bernasib baik dan bersyukur kerana ada orang dapat melihat kami yang sedang hanyut di lautan,” katanya.

ANTARA nelayan yang diselamatkan ketika ditemui di Pangkalan Polis Marin Wilayah 3, Padang Lalang. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X