Isnin, 6 Ogos 2018 | 4:19pm
ANTARA mat rempit yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanandi Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Mat rempit gadai nyawa menunggang lawan arus

KUALA LUMPUR: Sekumpulan mat rempit sanggup menggadai nyawa menunggang melawan arus ketika digempur polis dalam Ops Samseng Jalanan dijalankan polis di sekitar bandar ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu, tindakan sembilan remaja yang didapati menunggang secara melulu dan merbahaya mengundang padah apabila ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, remaja yang berusia 16 hingga 25 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Pemeriksaan mendapati dua daripada remaja yang ditahan itu turut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Mereka ini menjadikan cuti hujung minggu untuk berpeleseran di sekitar pusat bandar raya dan berlumba," katanya ketika dihubungi, disini, hari ini.

Zulkefly berkata, dalam operasi sama pihaknya mengeluarkan 360 notis saman terhadap pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dikenakan saman adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cukai jalan tamat tempoh.

"Semua tangkapan dibawa balik ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Katanya, tindakan ke atas penunggang motosikal yang gemar menunggang secara melulu dan kenderaan yang diubahsuai akan dijalankan secara berterusan.

"Tindakan ini selaras dengan hasrat meminimumkan kemalangan jalan raya di kalangan penunggang mosikal di samping memastikan peraturan jalanraya sentiasa dipatuhi," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X