Ahad, 5 Ogos 2018 | 2:23pm

Enam pakar proses dadah diberkas polis

SEREMBAN: Enam 'ahli kimia' tempatan dan warga India yang mahir memasak syabu, berjaya diberkas polis dalam serbuan di sekitar Port Dickson dekat sini, membabitkan rampasan dadah bernilai RM2.4 juta, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata serbuan bermula jam 6.20 petang hingga 2.15 pagi itu dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Negeri Sembilan bagi melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa.

Beliau berkata, enam suspek membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima warga India berusia antara 21 hingga 40 tahun yang disyaki bertindak sebagai tukang memproses dadah, ditahan dalam serbuan itu.

"Pada mulanya, kita menahan dua suspek terbabit di satu kawasan di Rantau. Susulan penahanan itu, polis menyerbu makmal dadah di sebuah kandang kambing di dalam ladang kelapa sawit di Linggi.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan empat lagi suspek. Hasil pemeriksaan menemukan 4.3 kilogram (kg) ketulan kristal disyaki syabu, 43.7kg cecair 'meth oil' dan 50kg serbuk bahan kimia yang akan diproses menjadi syabu.

"Polis kemudian melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Teluk Kemang terletak kira-kira 20 kilometer dari kandang kambing. Hasil serbuan itu menemukan 150 gram ketulan kristal syabu, 1.3kg 'meth oil', sejumlah bahan kimia dan peralatan memproses syabu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kang Chez Chiang, dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mohmad berkata, selain dadah, pihaknya turut merampas semua peralatan memproses syabu terbabit dan barangan kemas dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM3 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan kimia digunakan dibawa dari India kerana berdasarkan penahanan sindiket sebelum ini, kebanyakannya dibawa dari negara berkenaan dan China.

"Namun, kita masih menjalankan siasatan bagi mengetahui cara bahan kimia itu dibawa masuk ke dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam hingga 10 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

101 dibaca
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh menunjukkan peralatan memproses syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X