Sabtu, 4 Ogos 2018 | 5:21pm
PENUNGGANG, Mohd Khairul Anuar Mohd Sah, 21, menunjukkan cebisan jubah Lijah Abdullah.

Menantu terkejut mak mentua maut

DUNGUN: "Saya hairan kenapa dia belum sampai untuk baca Yasin di majlis tahlil. Alangkah terkejutnya bila dapat tahu arwah meninggal dunia dalam perjalanan," kata Che Wan Ummi Kalsum Che Wan Malim, 33, menantu kepada Lijah Abdullah.

Lijah, 62, maut selepas jubah dipakainya tersangkut pada gegancu motosikal, menyebabkannya jatuh tersembam di atas jalan ketika membonceng kenderaan itu dalam kejadian di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), kira-kira jam 3 petang semalam.

Wanita itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.45 petang semalam ketika sedang dirawat di Hospital Dungun.

Che Wan Ummi Kalsum berkata, ibu mentuanya sebelum itu meminta anak jiran, Mohd Khairul Anuar Mohd Sah, 21, menghantarnya ke majlis bacaan Yasin dan tahlil berikutan kematian seorang penduduk kampung.

"Saya sampai dulu di majlis itu, namun arwah belum sampai dan setengah jam selepas itu suami memaklumkan arwah ditimpa kemalangan," katanya.

Katanya, beliau bergegas ke Klinik Kesihatan AMBS dan mendapati ibu mentuanya sudah tenat dengan darah berlumuran pada bahagian kepala dan mukanya.

"Kami mengejarkannya ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di situ," katanya.

Menurutnya, ibu mentuanya itu seorang yang baik hati dan amat menyayangi semua lapan menantu dan cucu-cucunya.

"Arwah memang gemar dan sering hadir majlis bacaan Yasin, marhaban dan berzanji setiap kali dijemput penduduk, malah beliau juga banyak mengajar dan membetulkan bacaan Yasin dan marhaban saya," katanya.

Mohd Khairul Anuar berkata, ketika dalam perjalanan, dia merasa motosikal ditunggangnya bergoyang sebelum terdengar bunyi mangsa terjatuh.

Katanya, beliau memberhentikan motosikal dan mendapatkan mangsa yang ketika itu tersembam di atas jalan.

"Mangsa berlumuran darah di kepala dan muka dan tidak berkata apa-apa ketika saya mengajarnya mengucap.

"Saya pada mulanya tak tahu macam mana boleh terjatuh sebelum mendapati cebisan jubah mangsa melekat pada motosikal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

"Jenazah mangsa dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun sebelum dituntut keluarganya pada 11 malam," katanya.

62 dibaca
Berita Harian X