Sabtu, 4 Ogos 2018 | 1:15pm

Budak 2 tahun maut nahas

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.24 pagi, mangsa, Terry Ong Teck Rui, 2, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala ahli keluarganya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki Proton Perdana bersama pemandu berusia 20 tahun dan dua penumpang lain dilanggar dari arah belakang oleh kereta Volvo yang dipandu lelaki berusia 37 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta lain, menyebabkan semua pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan mengalami kecederaan.

"Semua mangsa dibawa ke Hospital Kulai berhampiran dan seorang daripada penumpang iaitu kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Kereta Proton Perdana rosak teruk di bahagian belakang sebelah kanan, manakala kereta Volvo rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan.

"Kemalangan tidak membabitkan kerosakan pada harta benda awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis sedang mendapatkan dokumen pengenalan diri kesemua mereka yang terbabit dan sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kemalangan itu.

"Bagaimanapun, pemandu kereta Volvo masih belum membuat laporan dipercayai mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X