Jumaat, 3 Ogos 2018 | 8:22am

Lelaki maut ketika selamatkan diri


SEORANG lelaki maut selepas terjun dari tingkat satu sebuah rumah di Taman Sri Gombak, pagi tadi, ketika mahu menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran di kediaman itu.

GOMBAK: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat satu sebuah rumah di Jalan SG 2/5, Taman Sri Gombak, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi tadi, ketika mahu menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran di kediaman itu.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi mangsa melecur pada bahu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.20 pagi berhubung kejadian.


KEBAKARAN membabitkan 70 peratus di tingkat atas kediaman.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dibantu BBP Rawang, Kepong, Gombak dan Bangi bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan 70 peratus di tingkat atas kediaman berkenaan. Seorang mangsa melecur pada bahu, manakala seorang lagi mangsa berusia 67 tahun meninggal dunia akibat terjun ketika mahu menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans dan punca kematian sebenar disiasat polis.

Berita Harian X