Khamis, 2 Ogos 2018 | 6:00pm
BEKAS Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Eizairi Shamsudin

Pengurusan kes saman Synergy Promenade, Shahrir ditetapkan 1 Oktober

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sudah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk membatalkan saman fitnah oleh syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd.

Saman itu berhubung projek membabitkan tanah FELDA.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Farah Shuhadah Razali yang mewakilil Shahrir (defendan) selepas kes disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas.

Menurut Farah, terdapat beberapa permohonan dikemukakan oleh kedua-dua pihak dan mahkamah menetapkan 1 Oktober ini untuk pengurusan kes.

"Pihak defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan plaintif atas alasan pliding tidak mengikut aturan dan tuntutan yang dikemukakan mereka tidak berasas.

"Pihak plaintif juga turut mengemukakan permohonan untuk membatalkan pembelaan anak guam kami," katanya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Priscilla Tan yang menyebut bagi pihak syarikat itu.

Pada 4 Jun lalu, Synergy Promenade memfailkan saman menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Shahrir kerana memfitnah mereka berhubung projek membabitkan tanah FELDA.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan ada mengeluarkan kenyataan memfitnah mereka pada Disember 2017 sehingga Mac 2018.

Kenyataan itu didakwa menyebabkan imej dan reputasi mereka tercemar serta menyebabkan plaintif kehilangan kontrak dan projek.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu disiarkan di beberapa media massa dan media sosial.

Sehubungan itu, plaintif menuntut perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu.

Mereka juga menuntut defendan mengemukakan kenyataan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui plaintif dan disiarkan dalam lima akhbar nasional.

Selain ganti rugi RM100 juta, plaintif juga memohon ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang sesuai.

Berita Harian X