Rabu, 1 Ogos 2018 | 9:51pm

Tunggang motosikal curi ke 'port' dadah

PENDANG: Sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang kira-kira dua tahun lalu, ditemui semula di sarang penagihan dadah dikenali sebagai 'port mandu' dekat Ayer Puteh, di sini, hari ini.

Motosikal itu ditunggang seorang wanita yang juga ibu tunggal beranak satu berusia 26 tahun, yang datang ke 'port' itu untuk mendapatkan bekalan dadah.

Dia bagaimanapun ditahan dalam operasi sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang diketuai Asisten Superintendan Muhammad Amin Mat Yassin bersama anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Sebelum itu, wanita terbabit memberi alasan datang ke 'port' berkenaan itu bertujuan meminjam telefon bimbit seorang rakannya bagi bermain judi dalam talian untuk mendapatkan wang.

Katanya, yang bekerja sebagai peniaga ikan, dia kerap bermain judi dalam talian untuk menyara anak lelakinya yang berusia empat tahun dan pernah memenangi hadiah hasil pertaruhan sebelum ini.

"Saya guna duit hasil jual ikan untuk membeli kad tambah nilai RM10 sebelum berjudi melalui telefon bimbit manakala sebahagian wang lagi digunakan untuk membeli dadah," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Operasi yang dilakukan tiga jam bermula 3 hingga 6 petang tadi berjaya menahan 13 individu disyaki penagih termasuk dua wanita dan kesemua mereka berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Sementara, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, operasi ini adalah kali ketiga dilakukan di 'port' sama yang disyaki menjadi sarang penagihan dadah di daerah ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati dua buah motosikal yang ditunggang dua penagih itu disyaki motosikal curi yang mana sebuah lagi motosikal iaitu jenis Honda didapati nombor casis enjinnya sudah dicanai.

"Berikutan itu, dua motosikal terbabit dibawa ke IPD Pendang untuk pemeriksaan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri motosikal.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap 13 individu yang ditahan mendapati 12 daripada mereka positif dadah jenis morfin dan seorang wanita positif syabu," katanya.

Arriz berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 kerana disyaki penagih dadah.

69 dibaca
SEORANG wanita yang juga ibu tunggal disoal siasat polis selepas didapati positif dadah jenis syabu dan menunggang motosikal curi di kawasan penagihan dadah 'port mandu' dekat Ayer Puteh, Pendang. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X