Selasa, 31 Julai 2018 | 7:20pm
Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Pesuruhjaya Bomba Kanan, Md Ali Ismail (depan) ketika memberi taklimat kepada wakil agensi kerajaan yang hadir menyaksikan simulasi penyiasatan kebakaran di akademi tersebut hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

Punca sebenar kebakaran boleh diketahui dalam 14 hari

KUALA KUBU BHARU: Kursus Penyiasatan Kebakaran yang diajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) membolehkan anggotanya mengenal pasti kesahihan punca kebakaran yang disiasat.

Ia terbukti berdasarkan kepada rekod yang menunjukkan hanya 0.2 peratus kemungkinan siasatan yang dilakukan gagal mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Ketua Pengajian Penyiasatan Kebakaran, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Halim Mohd Jadi, berkata siasatan dilakukan pegawai Bomba Forensik Kebakaran akan dapat mengetahui 100 peratus punca kebakaran dalam masa sehingga 14 hari.

"Kebanyakan kes yang kita siasat dapat mengenal pasti punca kebakaran itu berlaku dan berdasarkan rekod hanya 0.2 peratus yang kita tidak dapat punca.

"Siasatan dilakukan selama 14 hari atau kurang bergantung kepada sesuatu kes yang berlaku.


Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Pesuruhjaya Bomba Kanan, Md Ali Ismail (depan) ketika memberi taklimat kepada wakil agensi kerajaan yang hadir menyaksikan simulasi penyiasatan kebakaran di akademi tersebut hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

"Tempoh siasatan juga boleh menjadi lebih panjang bergantung kepada darjah kesukaran," katanya ketika ditemui pada Kursus Penyiasatan Kebakaran di sini, hari ini.

Turut hadir, Komandan ABPM Wilayah Tengah, Pesuruhjaya Bomba Kanan, Md Ali Ismail.

Kursus Penyiasatan Kebakaran itu disertai seramai 21 pegawai Bomba Forensik Kebakaran yang berlangsung selama 14 hari.

Abdul Halim berkata, kaedah siasatan yang dilakukan berdasarkan kaedah saintifik berpandukan kepada Panduan Siasatan untuk Kebakaran dan Letupan oleh Standard National Fire Protection Association (NFPA) 921 yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Katanya, kaedah penyiasatan saintifik itu membabitkan tujuh langkah iaitu mengenal pasti keperluan, menentukan masalah, pengumpulan data, analisis data, membangunkan hipotesis, menguji hipotesis dan memilih hipotesis akhir.

Selain itu, katanya, siasatan juga akan tertumpu kepada lima skop utama iaitu, tempat bermula kebakaran, sumber nyalaan, punca kebakaran, keadaan kebakaran dan kebakaran secara sengaja.

"Sumber kebakaran kebiasaannya dilihat sama ada semula jadi, kemalangan atau sengaja bakar. Sengaja bakar biasanya daripada sampah atau niat jahat," katanya.

51 dibaca
Berita Harian X