Selasa, 31 Julai 2018 | 5:02pm

Imigresen tumpaskan geng Ah Boy

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket geng Ah Boy, yang menjalankan kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen imigresen, dalam serbuan di dua premis di Chow Kit, di sini, petang Ahad lalu.

Serbuan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang itu menyaksikan penahanan tiga lelaki tempatan yang mendalangi sindiket berkenaan dan dua wanita warga Indonesia yang menjadi pembantu sindiket.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket disyaki menghasilkan Surat Kebenaran Bekerja dengan Syarikat Lain, Salinan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan I-Kad palsu yang dijual pada kadar RM30 hingga RM180 bergantung kepada pakej.

"Kegiatan pemalsuan dijalankan sejak tiga tahun lalu dengan sindiket mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dan kebanyakan pelanggan tetapnya adalah dari sekitar Lembah Klang terutama di kawasan Chow Kit dan Kampung Baru membabitkan warga Indonesia serta Bangladesh.

"Mereka menjual Surat Kebenaran Bekerja dengan Syarikat Lain, mengeluarkan pelekat PLKS dan lampiran biodata dalam pasport yang dipalsukan serta menjual I-Kad. Dokumen yang mendapat sambutan adalah pakej lengkap berharga RM180 dan ia boleh dianggap sebagai harga yang sangat murah," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan berselindung di sebalik perniagaan alat komunikasi dengan menjalankan operasi mereka di kedai menjual telefon bimbit serta aksesori alat telekomunikasi.

"Suspek wanita berperanan sebagai pembantu kedai selain bertindak sebagai orang tengah untuk mencari pelanggan. Mereka akan berjumpa di premis berkenaan sebelum mengambil gambar melalui telefon bimbit dan memproses dokumen yang dikehendaki.

"Lima suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta," katanya.

Dalam perkembangan lain, sejak 1 Januari hingga Jumaat lalu, 8,456 operasi dijalankan dengan 103,425 pemeriksaan dibuat dan daripada jumlah itu, seramai 25,152 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta 656 majikan ditahan.

KETUA Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan dokumen pengenalan diri yang dipalsukan pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X