Ahad, 29 Julai 2018 | 4:18pm
KEADAAN sebuah bas persiaran selepas merempuh belakang treler di Kilometer 285.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di Nilai, hari ini. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN sebuah bas persiaran selepas merempuh belakang treler di Kilometer 285.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di Nilai, hari ini. - Foto ihsan PDRM

Bas rempuh treler, 12 cedera

NILAI: Seramai 12 penumpang dan pemandu sebuah bas persiaran cedera ringan selepas kenderaan itu merempuh belakang treler di Kilometer 285.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), berhampiran susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, bas dari Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke Seremban itu dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh treler berkenaan yang sedang bergerak di lorong sama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata bas itu membawa 22 orang termasuk pemandu dengan 10 penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

"Nahas berlaku apabila pemandu bas berusia 48 tahun itu gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh treler di hadapannya.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut manakala penumpang yang tidak cedera dihantar ke Seremban menaiki bas ganti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Berita Harian X