Ahad, 29 Julai 2018 | 3:44pm
TIGA maut manakala dua cedera selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh bas ekspres di Kilometer 307 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Gopeng, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 307 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Gopeng, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kereta Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 307 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Gopeng, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Tiga maut kereta dirempuh bas ekspres

GOPENG: Tiga maut manakala dua cedera selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh bas ekspres di Kilometer 307 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 9.30 pagi itu, tiga penumpang Toyota Vios, Yew Kim Nyuk, 53; suaminya, Cheah Yook Ching, 57; serta abang, Yook Ching, Cheah Chui Yong, 60; maut di lokasi kejadian.

Pemandu berusia 24 tahun dan bapanya yang juga penumpang tempat duduk belakang berumur 61 tahun, cedera ringan.

Dua pemandu bas ekspres dan 16 penumpang berusia antara 13 dan 69 tahun, tidak cedera. Bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati semua penumpang kereta berkenaan yang beralamat di ibu negara, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri Toyota Vios pecah sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

"Kereta berkenaan dipercayai berpusing beberapa kali dan masuk ke lorong kanan iaitu lorong laju.

"Bas ekspres yang melalui arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta terbabit mengakibatkan tiga penumpang tercampak keluar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, tiga mangsa berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi cedera.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati Toyota Vios itu rosak teruk di semua bahagian manakala bas ekspres remuk sedikit di bahagian hadapan pada sebelah kanan.

Katanya, lima daripada 16 penumpang bas ekspres dipindahkan ke bas lain sebelum ketibaan pegawai penyiasat polis.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X