Sabtu, 28 Julai 2018 | 1:38pm
PERTEMBUNGAN antara penyokong penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan penyokong Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P Ramasamy di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown. - Foto Danial Saad

Kerajaan negeri tidak campur tangan

GEORGETOWN: Kerajaan negeri tidak campur tangan dalam isu membabitkan Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri urusan terbabit kerana sudah banyak laporan polis dilakukan berhubung isu berkenaan.

"Bagi saya, kita tidak perlu masuk campur kerana isu terbabit kini disiasat polis. Jadi, biarlah polis lakukan kerja mereka.

"Jika kita campur tangan dalam isu ini ia akan menganggu siasatan yang akan dilakukan polis," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Graduasi ke-23, Penang Skills Development Centre (PSDC), di sini, hari ini.

Semalam, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi aman di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, mendesak Ramasamy meletak jawatan dan membersihkan namanya daripada tuduhan bersekongkol dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kumpulan NGO terbabit mengadakan demonstarasi itu bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri yang antara kandungannya meminta supaya kerajaan negeri campur tangan dalam soal dakwaan dibuat Ramasamy terhadap penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Berlaku sedikit kekecohan ketika demonstrasi terbabit apabila kumpulan NGO menyokong Ramasamy turut berada di kawasan berkenaan namun keadaan dapat dikawal dengan kehadiran anggota polis.

Berita Harian X