Khamis, 26 Julai 2018 | 5:13pm
TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy ketika ditemui selepas hadir pada Sesi Dialog Bersama Belia India di Politeknik Seberang Perai (PSP), Bukit Mertajam, malam tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Bukit Aman rekod keterangan Ramasamy jika perlu

BUKIT MERTAJAM: Bukit Aman akan memanggil Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy untuk diambil keterangan berhubung dakwaan ahli politik itu menyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) dari Sri Lanka sekiranya perlu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung kes berkenaan berikutan semuanya sudah diserahkan kepada Bukit Aman siasatan rapi.

Beliau berkata, ia terpulang kepada Bukit Aman sekiranya menjadi satu keperluan memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu untuk direkodkan keterangan.

"Bagi pihak polis negeri, kita sudah merakamkan keterangan ahli politik itu minggu lalu sebelum kes ini diserahkan kepada Unit Siasatan Khas Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

"Segala perkembangan baharu mengenai kes ini boleh dirujuk kepada pihak Bukit Aman," katanya ketika ditemui selepas hadir pada Sesi Dialog Bersama Belia India di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, pengguna laman sosial dikejutkan dengan penyebaran gambar Ramasamy bersama pengasas dan Setiausaha Agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK), Vaiko atau V Gopalasamy yang terbabit dengan LTTE ke majlis perkahwinan anaknya di Pulau Pinang tahun lalu.

Ia menimbulkan suasana tidak selesa hingga menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis terhadap ahli politik itu berhubung dakwaan terbabit.

Difahamkan, lebih 50 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Ramasamy sejak awal bulan lalu bagi meminta polis menjalankan siasatan terperinci.

Bagaimanapun, Ramasamy tetap dengan pendiriannya apabila beliau menafikan tidak terbabit dengan kumpulan pengganas berkenaan.

Sementara itu, Thaiveegan berkata, polis merayu kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan apa jua perhimpunan tunjuk perasaan berhubung kes terbabit kerana siasatan mengenai perkara itu sudah berjalan.

"Polis sudah pun mengambil langkah menyiasat kes ini dan kita minta tolong jangan buat sesuatu yang melanggar undang-undang.

"Hentikanlah perhimpunan tunjuk perasaan dan jika perlu buat juga, tolonglah ikut undang-undang dengan mendapatkan kebenaran ketua polis di daerah masing-masing serta mematuhi prosedur," katanya.

Berita Harian X