Selasa, 24 Julai 2018 | 7:29pm
DATUK Seri Mustafar Ali ketika sidang media pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. - Foto Luqman Hakim Zubir

Serah diri sebelum ditahan - Mustafar

KUALA LUMPUR: "Serah diri kepada Jabatan Imigresen atau anda akan ditahan sebelum 30 Ogos nanti."

Itu amaran Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Amaran itu ditujukan khusus kepada majikan dan pekerja mereka yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih belum menyerah diri melalui Program 3+1.

"Majikan dan PATI diberi masa hingga 30 Ogos ini untuk menyerah diri. Jika mereka menyerah diri selepas tarikh berkenaan, mereka akan ditahan.

"Tindakan ini diambil selaras dengan tarikh yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya pada sidang media selepas Operasi Mega 3.0 di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Program 3+1 adalah program serah diri secara sukarela bagi membolehkan semua pekerja asing di negara ini yang tidak memiliki dokumen di bawah 'Program Rehiring' untuk dihantar pulang ke negara asal secara sukarela, yang sebenarnya sudah tamat pada 30 Jun lalu.

"Datang kepada kami (JIM) dengan dokumen berkaitan, kami akan mengendalikan dengan baik dan melengkapkan aplikasi itu secepat mungkin untuk memudahkan bukan menyusahkan," katanya.

Beliau berkata, majikan dan PATI hanya perlu membayar penalti RM400 dan tidak akan didakwa sekiranya menyerah diri sebelum 30 Ogos nanti.

Sebelum itu, seramai 139 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dalam Operasi Mega 3.0 yang dijalankan di premis sekitar Jalan Raja Laut di sini, petang tadi.

"Seramai 385 warga asing berusia 20 hingga 60 tahun diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, 139 PATI ditahan.

"Kebanyakan mereka yang ditahan melakukan kesalahan salah guna dokumen perjalanan. Contohnya, kami mengenal pasti individu yang memegang dokumen sebagai pembantu rumah tetapi bekerja sebagai jurujual," katanya.

Tambah Mustafar, sebahagian daripada majikan memberi alasan sukar untuk mendapatkan dokumen bagi pekerja asing dan meminta JIM menghentikan Operasi Mega.

"Ia tidak sukar, tetapi ada kos yang perlu majikan tanggung, mungkin itu adalah salah satu sebab mereka masih berdegil dan mengambil PATI sebagai pekerja.

"Kami tidak akan menghentikan Operasi Mega. Saya mengaku memang kita perlukan pekerja asing dalam sektor tertentu, tetapi kemasukan mereka haruslah secara betul," katanya.

Mustafar berkata, JIM sudah melakukan sebanyak 8,217 operasi sejak 1 Januari lalu hingga semalam bagi membanteras kemasukan PATI.

"Seramai 100,710 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, 24,463 PATI serta 635 majikan ditahan. "Sehingga kini, seramai 26,000 PATI sudah diusir pulang ke negara asal masing-masing," katanya.

110 dibaca
Berita Harian X