Sabtu, 21 Julai 2018 | 3:45pm

Nyaris maut lori dipandu terbabas ke gaung

MELAKA: Seorang pemandu lori terselamat dari maut walaupun lori yang dipandunya terbabas lalu masuk ke gaung sedalam kira-kira 3.3 meter di Jalan Tun Kudu-Bukit Katil, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, M Ganesan, 35, terpaksa bertahan selama kira-kira dua jam dengan kakinya tersepit di bawah papan pemuka lori satu tan, penuh dengan muatan perkakasan pertukangan, termasuk batu-bata.

Difahamkan, lori dipandunya dari arah Tehel menuju ke arah Bukit Katil, tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian, sebelum terbabas ke arah bertentangan dan menjunam ke gaung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Alias Ahmad berkata, Ganesan bernasib baik kerana sebaik lori jatuh gaung dan memasuki parit menyebabkan badannya ditenggelami air sehingga paras leher.

"Kita menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.39 pagi, tiba di lokasi kejadian sembilan minit dan memulakan operasi menyelamat pada jam 10.50 selepas meneliti keadaan mangsa serta risiko.

"Sebaik tiba, anggota turun ke cerun mendapati sebahagian kepala lori sudah berada dalam parit sedalam kira-kira 1 meter dan mendapati, mangsa terselamat tapi tidak dapat dikeluarkan kerana kaki tersepit.

"Mangsa bagaimanapun boleh bernafas kerana sebahagian badan sahaja yang ditenggelami air," kata Alias, ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kesukaran mengeluarkan mangsa, terutamanya apabila kaki kanan yang tersepit dan ditenggelami air, membuatkan dua anggota kecemasan EMRS dan seorang paramedik, ditempatkan di bawah cerun bagi menenangkan dan memastikan Ganesan bertahan dan sentiasa dalam keadaan sedar.

Katanya, tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Padang Temu dan Ayer Keroh digunakan untuk menarik lori itu ke atas, namun tidak berjaya sebelum mendapatkan bantuan daripada trak penarik (towing).

"Dengan bantuan trak towing, lori satu tan itu dapat dinaikkan sedikit dan tidak ditenggelami air. Ketika inilah anggota bomba menyelamat mangsa menggunakan pemotong serta peregang hidraulik, ketika di lereng gaung

"Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan jam 12.20 tengah hari. Mangsa ditempatkan di atas pengusung dengan anggota bomba bergandingan menaikkan mangsa ke atas dan menyerahkan kepada ambulans paramedik yang segera menghantarnya ke Hospital Melaka," kata Alias lagi.

Alias berkata, tempoh dua jam menyelamat mangsa cukup untuk menceritakan tahap kesukaran dihadapi dalam keadaan di lereng gaung dengan kecuraman 75 darjah.

Begitupun, beliau lega kerana mangsa berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kecederaan kaki kanan akibat tersepit.

Kejadian itu menyebabkan jalan terbabit sesak lebih dua kilometer di kedua-dua arah kerana jalan terpaksa ditutup bagi membolehkan anggota penyelamat menjalankan kerja menyelamat.

Berita Harian X