Khamis, 19 Julai 2018 | 3:10pm
KEMALANGAN melibatkan lima buah kereta dan treler empat maut, seorang parah dan tiga lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 446, Lebuhraya PLUS menghala utara kejadian 12 tengah hari tadi.

Kanak-kanak parah dalam kemalangan Sabtu lalu meninggal

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang parah dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan meragut empat nyawa di Kilometer 445 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Rawang, Selangor, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mangsa, Ezzudin Noorakihirludin Alam, 10, disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi tadi.

"Doktor yang merawat mangsa memaklumkan otak mangsa tidak berfungsi dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi tadi, jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sepupu mangsa, Nur Fakhruddin Mohd Idrus, 27, berkata, jenazah Ezzudin dibawa ke kampung halaman bapanya, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, yang turut maut dalam kemalangan itu di Kampung Sama Gajah, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

"Jenazah Ezzudin dimandikan dan disembahyangkan di surau Hospital Sungai Buloh sebelum dibawa balik ke Permatang Pauh.

"Jenazahnya kini sedang dalam perjalanan ke Kampung Sama Gajah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sama Gagah sebaik dijangka tiba ke sana selepas Asar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ezzudin antara lima yang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu yang membabitkan sebuah treler tanpa muatan dengan kereta Perodua Myvi, kereta Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres.

Mereka yang maut adalah pemandu MPV Toyota Vellfire, pemandu MPV Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam, Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24. Semua disahkan maut di lokasi kejadian.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang menghala ke utara merempuh kereta Perodua Myvi dan melanggar kereta Nissan Almera.

Akibat pelanggaran itu, treler terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah bas ekspres.

MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire dan kereta BMW yang berada di laluan dari arah utara menghala ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak lalu melanggar treler berkenaan.

206 dibaca
Berita Harian X