Khamis, 19 Julai 2018 | 3:06pm
KETUA Polis negeri, Datuk Seri A Thaiveegan beramah mesra dengan penerima sijil pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pasukan Trafik Sukarela Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China di Georgetown, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Polis rakam percakapan Ramasamy

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang sudah merakam percakapan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, yang didakwa menyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) dari Sri Lanka.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata keterangan Ramasamy dirakamkan Selasa lalu, bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dari seluruh negara yang dibuat terhadap ahli politik itu berhubung dakwaan terbabit.

"Kita sudah panggil beliau dan rakam percakapannya dua hari lalu dan beliau memberi kerjasama yang baik.

"Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan oleh Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman kerana laporan polis terhadap beliau turut membabitkan dari negeri lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pasukan Trafik Sukarela Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China di sini, hari ini.

Sejak awal bulan ini, beberapa laporan polis dibuat terhadap Ramasamy berikutan bukti yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu terbabit dengan kumpulan LTTE di Sri Lanka, tersebar di laman sosial.

Antaranya adalah gambar Ramasamy bersama pengasas dan Setiausaha Agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK), Vaiko atau V Gopalasamy yang dimuat naik di media sosial pada 14 Julai lalu, selain Ramasamy juga pernah menjemput ahli politik India, V Gopalasamy yang terbabit dengan LTTE ke majlis perkahwinan anaknya di Pulau Pinang tahun lalu.

Sebelum ini, Ramasamy mencetuskan kontroversi apabila mendesak kerajaan untuk menghantar pulang penceramah bebas, Dr Zakir Naik ke India.

Berita Harian X