Rabu, 18 Julai 2018 | 7:18pm
Anggota APM Kubang Pasu menunjukkam ular sawa sepanjang lima meter yang ditangkap ketika tersangkut dalam jaring berhampiran reban ayam di rumah penduduk di Lorong Satria, Kampung Bukit, hari ini. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Ular sawa baham ayam ditangkap

JITRA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu menghadapi detik cemas apabila cuba mengeluarkan ular sawa seberat 20 kilogram (kg) yang terperangkap dalam reban ayam.

Anggota APM Kubang Pasu, Shukri Salleh berkata, beliau terpaksa menyiram air ke arah ular sawa sepanjang lima meter itu kerana terperangkap dalam jaring yang tersangkut dalam lumpur sebelum dapat mengeluarkannya.

"Saya terpaksa memotong jaring berkenaan perlahan-lahan untuk mengeluarkan ular sawa yang terperangkap, malah bimbang juga kalau tersilap langkah akan membahayakan nyawa disebabkan reptilia itu seakan lapar," katanya.

Ular itu ditemui penduduk jam 6.30 pagi tadi bersebelahan reban ayam di Lorong Satria, Kampung Bukit, di sini sebelum menghubungi APM untuk membantu menangkap ular berkenaan.

Shukri berkata, beliau dan empat rakannya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan ular sawa berkenaan yang dalam keadaan lapar dan bertindak agresif.

Katanya, sebaik berjaya memotong jaring berkenaan, beliau terus menangkap bahagian kepala ular berkenaan manakala anggota lain cuba meregangkan badannya bagi mengelakkan ia membelit.

"Ia cuba melawan kami tetapi dengan kemahiran yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular berkenaan tanpa mencederakannya.

"Menurut penduduk terbabit, Mohd Zulkifli Shahrulnizam, 21, ular itu sudah menelan dua ekor ayam dalam reban berkenaan dan mungkin gagal keluar selepas terjatuh dalam jaring itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.55 pagi tadi daripada pemanggil yang memaklumkan penemuan ular berkenaan.

Beliau berkata, anggotanya tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan.

"Ular sawa ini disimpan sementara di pejabat APM Kubang Pasu sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

"Sepanjang tempoh awal bulan hingga hari ini sebanyak 45 kes tangkapan ular dilaporkan di daerah ini yang kebanyakannya membabitkan ular tedung senduk," katanya.

Kamarulzamal berkata, jumlah tangkapan yang makin bertambah adalah disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan reptilia itu mencari tempat berlindung.

Berita Harian X