Rabu, 18 Julai 2018 | 9:03am
DUA pendaki yang berjaya ditemui selamat oleh anggota bomba Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) selepas mereka tidak menemui jalan turun ketika mendaki di Bukit Beruang. - Foto ihsan Bomba
DUA pendaki yang berjaya ditemui selamat oleh anggota bomba EMRS selepas mereka tidak menemui jalan turun ketika mendaki di Bukit Beruang. - Foto ihsan Bomba

'Nasib baik ada telefon bimbit'

MELAKA: Dua pendaki bernasib baik apabila membawa telefon bimbit bersama untuk menghubungi pihak bomba selepas mereka tidak menemui jalan turun ketika mendaki di Bukit Beruang, di sini, petang semalam.

Mangsa seorang lelaki bersama kenalan wanitanya masing-masing berusia 22 tahun dikatakan naik ke bukit itu untuk beriadah kira-kira jam 6 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.43 malam daripada kedua-dua mangsa memaklumkan mereka tersesat.

Sejurus selepas itu, katanya, sepasukan 20 anggota, termasuk pegawai bersama dua jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Difahamkan kedua-dua mereka mendaki ke bukit itu pada lewat petang dan apabila mahu mencari jalan turun, mereka gagal berbuat demikian kerana hari mulai gelap.

"Operasi mencari dan menyelamat mengalami sedikit kesukaran kerana mangsa tidak dapat memberitahu lokasi sebenar mereka berada," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hamdan berkata, kedua-dua mangsa kemudian berjaya ditemui kira-kira jam 9.25 malam, sebelum mereka dibawa turun.

"Ketika ditemui, kedua-dua mereka berada dalam keadaan kepenatan, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak melakukan pendakian pada lewat petang, selain membawa bersama pendaki yang sudah biasa dengan selok-belok laluan di bukit berkenaan bagi mengelak tersesat.

Berita Harian X