Isnin, 16 Julai 2018 | 8:36pm
MOHD Umry membuat laporan di Balai Polis Rahang, meminta siasatan dilakukan terhadap P Ramasamy yang didakwa menyokong puak pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka. - Foto ihsan pembaca

Laporan polis ke atas P Ramasamy

SEREMBAN: Pengerusi Skuad Mubaligh Negeri Sembilan, Mohd Umry Abdul Khois membuat laporan di Balai Polis Rahang di sini, semalam meminta siasatan dilakukan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang didakwa menyokong pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) di Sri Lanka.

Mohd Umry berkata, sewaktu berada di Wisma Mubaligh di Jalan Tuanku Antah, di sini, jam 2 petang kelmarin, beliau terbaca artikel dipaparkan di Facebook milik Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Abdullah.

Katanya, artikel itu mendedahkan pembabitan Ramasamy yang menyokong LTTE malah terdapat sekeping foto menunjukkan ahli politik itu menyembah lambang AK-47 yang menjadi ritual puak pemberontak berkenaan.

"Dr Ramasamy adalah Timbalan Ketua Menteri yang dibimbangi menggunakan kedudukan beliau untuk menyebarkan ideologi keganasan. Keadaan ini begitu menggusarkan malah boleh mengancam keamanan negara," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Umry berkata, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menjalankan siasatan segera berikutan tindakan itu boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, beliau percaya rakyat di negara ini akan menolak agenda mempromosi aktiviti keganasan dan mahukan kehidupan aman sejahtera.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiee Hock dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat.

Katanya, pengadu memohon supaya pihak berkuasa menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan yang viral di media sosial.

Berita Harian X