Isnin, 16 Julai 2018 | 3:54pm
PEMERIKSAAN mendapati pihak kontraktor membuat penyambungan secara tidak sah menggunakan paip jenis Mild Steel (MS) melalui tangki sedutan di Temiang. - Foto ihsan SAINS

Tapak pembinaan curi air dibongkar

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membongkar perbuatan kontraktor sebuah tapak pembinaan di Temiang, di sini, mencuri air, Selasa lalu, menyebabkan kerugian kira-kira RM6,000.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata pihaknya yang menerima aduan melakukan serbuan ke tapak pembinaan itu jam 10 pagi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, pemeriksaan mendapati pihak kontraktor membuat penyambungan secara tidak sah menggunakan paip jenis Mild Steel (MS) melalui tangki sedutan di lokasi.

"Pemaju sepatutnya mendapatkan bekalan air menggunakan meter namun disyaki mencuri. Ujian klorin dilakukan mendapati air digunakan adalah air terawat milik syarikat (SAINS)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Norzita berkata, operasi diketuai pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohd Shariff Abd Rahman mengeluarkan notis kesalahan kepada kontraktor terbabit.

"Kita turut menyita paip MS itu sebagai bahan bukti. Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kes curi air di negeri ini membabitkan pengguna komersil dan domestik.

"Ini adalah langkah berterusan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW). Orang ramai yang ada maklumat berkaitan kecurian air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS bernombor 1-800-88-6982," katanya.

Berita Harian X