Isnin, 16 Julai 2018 | 2:41pm

Tahan lima lelaki, rampas dadah RM126,000

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lima lelaki warga tempatan dalam dua serbuan berasingan selepas mereka disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kempas di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, dalam kedua-dua serbuan yang dilakukan antara jam 2 petang hingga 7 malam kelmarin, pihaknya merampas dadah jenis heroin, ganja dan syabu dengan anggaran nilai RM126,000.

Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan di luar kawasan rumah di kawasan Kempas di sini.

"Kita berjaya merampas 7.19 kilogram dadah heroin, 56 gram ganja dan 400 gram syabu.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kelima-lima mereka mendapati seorang daripadanya positif dadah MOP manakala yang lain negatif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Lukas, dalam serbuan itu juga, pihaknya menyita masing-masing sebuah Perodua Myvi, Volkswagen Polo dan Honda CRZ serta motosikal Yamaha LC dengan 11 telefon bimbit dan wang tunai RM2,800.

Katanya, semua barangan sitaan bernilai kira-kira RM91,000.

Lukas berkata, tiga daripada lima suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka ditahan reman tujuh hari sehingga Jumaat ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

LUKAS (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan lima lelaki warga tempatan dalam dua serbuan berasingan yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kempas pada sidang media di IPK Johor. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X