Jumaat, 13 Julai 2018 | 2:41pm

Bekas pengajar al-Quran dipenjara 6 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengajar al-Quran dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Sani Mahdi Sahar, 25, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing tiga tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan pertama dan ketiga iaitu memiliki baju T berkaitan Daesh, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh tangkap pada 23 Disember 2017, menjadikannya perlu menjalani hukuman penjara selama tiga tahun.

Sementara itu, untuk hukuman penjara tiga tahun kerana memiliki item termasuk gambar, video dan e-majalah di dalam telefon bimbitnya, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu sebaik saja selesai menjalani hukuman bagi pertuduhan pertama dan ketiga.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu memandangkan tertuduh sebelum ini pernah dipenjara 18 bulan kerana melakukan kesalahan serupa, dua tahun lalu.

"Hukuman ringan (sebelum ini) seperti kesan digigit oleh semut saja, yang mana tidak boleh menyedarkan awak dan masyarakat luar bahawa pentingnya untuk tidak mengulangi perbuatan berunsur keganasan.

"Saya harap dengan hukuman kali kedua ini lebih menginsafkan, memberi kesan kepada awak dan masyarakat mengenai bahaya untuk memiliki bahan, melakukan dan menyokong keganasan," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketiga, tertuduh didakwa memiliki lima helai baju T dan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan pintu masuk Blok 3, Apartmen Desa Mentari dan di rumah No B3-14-23, Apartmen Desa Mentari, Jalan PJS 5/12, Petaling, di sini antara 5.15 dan 5.30 petang, 23 Disember 2017.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Nurain Sakina Zakri.

Terdahulu, Nurain Sakina memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya supaya tertuduh dapat memulakan hidup baru bersama isteri dan anak yang baru lahir.

Mohd Izhanudin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dan lebih lama daripada hukuman 18 bulan penjara yang pernah tertuduh jalani untuk menyedarkannya dan masyarakat.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis menahan tertuduh yang ketika itu memakai baju T berunsur keganasan di hadapan pintu masuk Apartmen Desa Mentari.

Pemeriksaan lanjut menemui telefon bimbit tertuduh yang didalamnya mengandungi 29 jilid majalah propaganda perjuangan pengganas Daesh dalam format PDF , 143 keping gambar dan 23 siri video yang mempunyai kaitan dengan Daesh.

Penggeledahan di dalam bilik tertuduh di apartmen itu juga menemui empat helai lagi baju T berkaitan keganasan.

Pada 24 Mac 2016, di Mahkamah Tinggi berlainan, tertuduh dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah memiliki 39 item rakaman video yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas.

25 dibaca
Berita Harian X