Khamis, 12 Julai 2018 | 1:30pm
KEADAAN Toyota Hilux selepas merempuh sebuah kereta Proton Persona yang menyebabkan pasangan dua beranak di dalam kenderaan itu maut dalam kemalangan di Simpang Jalan Bahagia, Jalan Kuala Baram- Bypass, Miri. - Foto Mohd Rizal Abdullah
KEADAAN kereta Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Simpang Jalan Bahagia, Jalan Kuala Baram- Bypass, Miri. - Foto Mohd Rizal Abdullah

Ajal dua beranak

MIRI: Dua beranak, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Baram Bypass berhampiran kawasan persimpangan Jalan Bahagia di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Elfhy Leonald Panai Thomas, 8, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala bapanya, Thomas Balang Apoi, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Miri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexon Naga Chabu, berkata hasil siasatan awal mendapati kereta jenis PROTON Persona dipandu mangsa dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Katanya, Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dari arah Permyjaya menuju ke Pujut, manakala mangsa dari arah bertentangan.

"Mangsa kemudiannya membelok ke kanan menuju ke simpang berkenaan menyebabkan keretanya dirempuh dari sisi kiri Toyota Hilux berkenaan.

"Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terseret beberapa meter sehingga ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Alexon berkata, kemalangan menyebabkan kanak-kanak terbabit parah maut di lokasi kejadian, manakala bapanya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Pemandu Toyota Hilux berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka," katanya yang turut menjelaskan Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X