Rabu, 11 Julai 2018 | 9:15pm

Sempat 'melaram' sehari sebelum dicekup polis

PENDANG: Polis berjaya menemui sebuah kereta PROTON Perdana yang dilaporkan hilang di Changlun, dekat sini, semalam selepas menahan tiga lelaki disyaki penagih dadah di Kampung Banggol Petai, di sini, hari ini.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek itu sempat 'melaram' dengan kereta curi itu sehari sahaja sebelum dicekup polis dalam operasi pada jam 1 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata melalui operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Asisten Superintendan Muhammad Amin Md Yassin itu, polis menahan kereta dinaiki tiga lelaki terbabit berusia 20-an hingga 30-an itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu kemudiannya menemui empat paket kecil dadah jenis syabu seberat tiga gram.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu dilaporkan hilang semalam berdasarkan laporan polis yang diterima semalam di daerah Kubang Pasu.

"Kes kereta curi itu diserahkan kepada pegawai penyiasat IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut, manakala kes penemuan dadah diserahkan pada Bahagian Narkotik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arriz Sham berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek menunjukkan mereka positif dadah jenis methaphetamin.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, semua suspek yang tidak bekerja itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Mereka akan direman esok untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

51 dibaca
Berita Harian X